Perasaan rindu yang teramat sangat hadir dalam hati ini bila secara tidak sengaja terbaca sebuah article mengenai kasih sayang seorang ibu dan bapa terhadap anaknya yang sedang menunggu waktu untuk pergi ke alam lain..
Perasaan rindu ini semakin ketara apabila tanpa aku sedari setitik demi sedetik air mata ku mengalir kerana tersentuh dengan kasih sayang yang ditunjukkan..
Alangkah indahnya kalau aku masih mempunyai seorang ayah dan ibu ketika ini, pasti mereka juga akan melayan dan mencurahkan sepenuh perhatian serta kasih sayang mereka kepada aku ketika menghadapi masalah di dalam kehidupan ini..
Hanya tinggal beberapa minggu sahaja untuk aku menyambut Hari Raya Aidilfitri di samping keluargaku tetapi meskipun mereka sentiasa ada di samping aku, aku tetap akan merasakan kesunyian itu kekosongan di hati menantikan kehadiran kedua ibu bapa ku untuk datang memeluk aku di pagi raya..
Aku juga mahu menyalami , mencium tangan mereka seperti mana sebuah keluarga yang lengkap biasa lakukan di pagi raya..saling bermaafan atas kesalahan yang dilakukan...aku mahu dahiku dikucup penuh kasih oleh ibu bapaku sebagai tanda mereka memaafkan segala kesilapan yang aku telah lakukan kepada mereka..
Ayah Emak..
Sekali lagi pada pagi raya yang akan datang ini kami tidak dapat menyalami tanganmu...
Sekali lagi kami akan merasa kehilangan apabila melihat anak-anak orang lain menyalami tangan kedua ibu bapa mereka sedangkan kami hanya mampu melihat semua itu..
Sudah 12 tahun pemergianmu , sudah 12 tahun di pagi raya kami mengingati diri mu..
Sekalipun kami tidak akan pernah menyesal akan kepemergianmu yang terlalu cepat bagi kami..
Kami tahu sudah sampai masanya untuk kami belajar hidup tanpa kasih sayangmu, tanpa pengawasan darimu..
Ayah Emak..
Pada raya Aidilfitri tahun ini, ayah dan emak akan mendapat seorang cucu..
Alangkah indahnya jika ayah dan emak masih ada untuk sama-sama meraikan kehadiran orang baru di dalam keluarga kita..kehadiran cucu tunggal mu..
Ayah Emak..
Doakan kami supaya hidup kami sentiasa berada di landasan yang betul...Bantulah kami untuk menjadi anak-anak yang soleh untuk kesejahteraanmu di sana.
Walaupun ayah dan emak sudah tiada lagi di sisi kami tapi kami tahu bahawa ayah dan emak sentiasa memerhatikan kami ..
Ayah Emak..
Ampunilah dosa kami adik beradik sekiranya kami masih menyusahkan kehidupanmu di alam sana..
Kami akan cuba sedaya upaya untuk menjadi seorang anak yang soleh untukmu..
Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri ayah , emak..
Kalian akan sentiasa berada di dalam hati ini terutamanya di hati kakak..
Kakak rindu yang teramat sangat dekat ayah dengan emak...
Sampai bila-bila pun kakak tidak akan pernah melupakan ayah emak..
EMMMm, baru tulis macam ni je dh nak mengalir air mata..kakak nie memang suka menangis kan mak ? ayah?
Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan kakak waktu tulis blog nie....
Semoga emak dan ayah bahagia di sana..
Kakak akan sentiasa mendoakan kesejahteraan emak dan ayah...:)
No comments:
Post a Comment